SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota polis wanita disyaki meminta dan menerima rasuah RM1,000 sebagai balasan untuk mengurangkan denda terhadap suspek yang disiasatnya.
Menurut sumber, wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari semalam di pejabatnya, di sini.
"SPRM menahan seorang anggota polis negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM1,000 sebagai balasan mengurangkan hukuman denda yang berkaitan siasatan dijalankan.
"Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada 20 Mac lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Justeru, perintah reman lima hari hingga 30 Mac ini dikeluarkan terhadap anggota pols wanita itu oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran di Mahkamah Majistret Sivil di sini, pagi tadi, selepas permohonan dibuat SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Sumber My metro & BH Online