SPRM tahan seorang lagi suspek rasuah kuota tiket penerbangan umrah

Tarikh: 13/02/2023
img

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan sebuah agensi pelancongan di Selangor ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Menurut sumber, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Rabu ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas mahkamah membenarkan permohonan SPRM, pagi tadi.

"Suspek ketujuh itu dipercayai memberi suapan kepada suspek pertama dan kedua sebagai balasan membantu ejen pelancongannya mendapatkan tiket penerbangan umrah.

"SPRM sudah memanggil beberapa saksi daripada syarikat berkaitan dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai lagi saksi bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Sumber turut berkata, SPRM menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM160,000, telefon mudah alih dan beberapa komputer riba yang digunakan suspek terbabit.

Katanya, pembekuan akaun terutamanya akaun pelaburan amanah saham membabitkan isteri, bekas isteri serta anak-anak mereka turut dijalankan.

"Siasatan mendapati syarikat ejen tunggal ini telah menyempurnakan penjualan tiket berdasarkan kuota yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat penerbangan luar negara berkaitan.

"Justeru, tiada timbul kebimbangan terhadap pengurangan jumlah kuota sedia ada yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada syarikat penerbangan luar negara kerana syarikat ejen tunggal sentiasa berjaya memenuhi kuota tiket seperti yang diperuntukkan," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan dan perintah reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Jumaat lalu, SPRM berjaya membongkar satu sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Menurut sumber, seramai enam individu berusia antara 34 hingga 55 tahun yang ditahan SPRM itu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam syarikat dalam satu operasi khas di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah


Sumber : Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel