SPRM tahan seorang pengarah IPTA di Kedah bantu siasatan kes salah guna kuasa

Tarikh: 07/01/2026
img

ALOR SETAR: Seorang pengarah sebuah institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) di negeri ini direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes salah guna kuasa dalam kerja pembekalan kain batik bernilai kira-kira RM16,000.

Dia disyaki menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi koperasi di IPTA terbabit dengan melantik syarikat milik anaknya bagi melaksanakan kerja pembekalan berkenaan pada 2024.

Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Januari itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi selepas mendapat permohonan daripada SPRM Kedah di Mahkamah Majistret Sungai Petani.

Menurut sumber, suspek perempuan berusia lingkungan 50an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sungai Petani.

"Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2024 di mana pembekalan kain batik tersebut bertujuan untuk pembuatan baju batik tenaga pengajar dan kakitangan institusi berkenaan" katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Sumber : Beritaq Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel