SPRM tahan wanita 'suap' kereta mewah

Tarikh: 29/09/2023
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wanita kerana disyaki memberi suapan kereta mewah bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan sebuah kementerian bernilai RM87 juta.

Menurut sumber, suspek berusia 30-an itu dipercayai pemilik syarikat penyelenggaraan dan pembersihan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 6.50 petang semalam.

"Suspek disyaki memberi suapan berupa kereta mewah RM200,000 kepada pegawai kanan kementerian terbabit pada tahun ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun yang diluluskan pada 2021," katanya.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 29 September ini dikeluarkan oleh Majistret Aima Nabila Muhammad Azhar selepas SPRM membuat permohonan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel