SPRM 'tak bagi muka' kepada pegawai tiada integriti

Tarikh: 05/11/2024
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil serius dan tidak akan berkompromi terhadap isu integriti serta etika kerja semua pegawainya.


Ia selepas seorang pegawainya, Azizun Mohamad, yang menjawat jawatan Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam, Selangor, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.


Menurut SPRM, Azizun didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000, berkaitan dengan Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada 2019.


"Kesalahan itu didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya.


"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda," katanya pada kenyataan.


SPRM berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada suruhanjaya terus terpelihara.


"Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.


"SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya," katanya.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel