Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan semua barangan milik ahli perniagaan, Albert Tei disita mengikut prosedur pada hari penahanannya.
Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam satu kenyataan berkata, antara barangan yang disita ialah telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang juga barang bukti.
Menurutnya, SPRM menyerahkan senarai rampasan barangan milik Albert Tei pada hari penahanannya dan ia ditandatangani sendiri oleh lelaki itu.
"Barangan itu diberikan oleh ahli perniagaan itu kepada pegawai SPRM dan satu salinan dokumen Senarai Penyitaan Harta Alih di bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 diserahkan kepadanya pada 28 November 2025.
"Antara barangan yang disita terdiri daripada telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang juga barang bukti," katanya.
Katanya, SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM merampas barang Albert Tei tanpa mengikut prosedur.
"SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam bidang kuasa," katanya.
Ia merujuk kepada berita dikeluarkan hari ini yang mana peguam mewakili isteri Albert Tei mendakwa SPRM merampas barangan suaminya secara tidak sah dan memberi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini untuk mengeluarkan inventori harta dirampas berikutan penahanan suaminya, tiga hari lalu.
Sumber: Berita Harian Metro