SPRM umum strategi penguatkuasaan baharu esok, fokus tindakan keras pada penjenayah kewangan

Tarikh: 14/01/2026
img

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengumumkan strategi penguatkuasaan baharu pada esok, dengan fokus mengembalikan dana negara dan mengambil tindakan lebih keras terhadap penjenayah kewangan yang merampas hak rakyat.

Strategi berasaskan pemulihan aset dan kaedah penyiasatan lebih bersistematik itu dijangka menghukum lebih ramai penjenayah yang selama ini hidup mewah dengan mengaut hasil sepatutnya disalurkan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata mendepani cabaran semasa, SPRM harus melangkah dengan lebih berkesan pada masa depan untuk memastikan setiap tindakan penguatkuasaan selari dengan perubahan yang berlaku.

Beliau berkata, strategi baharu itu juga adalah susulan kejayaan SPRM tahun lalu yang memperoleh RM8.4 bilion hasil tindakan punitif, sekali gus menjadi antara tahun terbaik sepanjang penubuhan agensi antirasuah itu.

Katanya, SPRM yang masih fokus kepada mengesan, menyiasat dan mendakwa di mahkamah bagi mereka yang terbabit dalam hal rasuah dan sebagainya, turut mempunyai kepakaran dalam hal penyiasatan jenayah kewangan, termasuk forensik kewangan serta hal berkaitan pengubahan wang haram.

"Dalam aspek pemulihan aset, ia kini bukan sekadar dalam bentuk fizikal, pergi ke rumah suspek dan mendapatkan wang yang diseleweng, sebaliknya pengesanan wang yang dihilangkan dalam pelbagai akaun diletakkan dalam akaun proksi. Ini bukan sesuatu yang mudah untuk SPRM lakukan.

"Saya tidak boleh janji akan memperoleh semula dana seperti tahun lalu (RM8.4 bilion), tetapi kita boleh lakukan dengan bagaimana cara kita melihat kes bersendirian dan berprofil tinggi yang mengakibatkan ketirisan banyak.

"Jadi, pada tahun ini, antara strategi yang saya akan umumkan esok adalah tindakan pemulihan aset yang akan dipertingkatkan dengan kaedah lebih bersistematik dan berteknologi. SPRM perlu memperbaiki strategi yang berlangsung pada tahun sebelumnya," katanya.

Azam berkata, sumber manusia dalam agensi berkenaan perlu dioptimumkan dengan kaedah terbaru dan lebih berkesan bagi memastikan penjenayah kewangan dikenakan hukuman berat.

"Meminta ramai pegawai itu boleh, tetapi ia mesti berlandaskan kepada cara kita bekerja. Tambah (kakitangan) beberapa ribu pun tak berkesan jika kaedah bekerja tidak berkesan.

"Contohnya, dalam kes penjenayah mengelak cukai dalam negara selama 10 tahun, ini bermakna cukainya tidak dikutip selama 10 tahun. Ini hak rakyat dan mereka perlu bayar, dan kita perlu kira dalam tempoh itu berapa banyak yang sudah hilang," katanya.

Azam berkata, kaedah baharu yang dilakukan SPRM penting untuk menghukum penjenayah kewangan semaksimum mungkin, tetapi ia memerlukan sinergi dan kepakaran.

"Jika saya kata hendak mufliskan individu itu, ia bermakna kami kena cari sebab. Penjenayah sudah tentu akan melindungi wang atau aset mereka yang mereka lesapkan," katanya.


Sumber : Berita Harianh Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel