SPRM umumkan perincian kes rasuah berprofil tinggi Selasa ini - Azam

Tarikh: 08/09/2025
img

KUALA PILAH: Perkembangan terkini beberapa kes rasuah profil tinggi termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Op Sikaro dan pengurusan kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan diumumkan, Selasa ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata semua perkembangan terkini kes berkenaan diumumkan dalam sidang media.

Katanya, banyak kes-kes rasuah yang tertunggak termasuk yang berlaku pada tahun lalu dan perlu dimaklumkan perkembangannya.

"Saya akan umumkan perkembangan terkini beberapa kes rasuah berprofil tinggi yang tertangguh, banyak kes seperti Op Sikaro, Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob), DBKL dan sebagainya. Sidang media saya pada 9 September ini.

"Op Sikaro ini kita masih lagi jalankan siasatan dan kita banyak melihat kepada orang-orang yang memperolehi hasil daripada aktiviti haram.

"Pegawai saya masih lagi membuat analisis kerana banyak membabitkan akaun, beratus-ratus akaun dan sebab itu saya minta untuk tangguh dulu supaya dapat memberi maklumat yang lebih tepat," katanya kepada media bagi mengulas mengenai beberapa kes rasuah yang dikendalikan jabatan itu, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Perasmian dan Penyerahan Balai Raya Kampung Terentang Batu Kikir sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI), di sini.

Yang turut hadir, isteri beliau yang juga Pengerusi PUSPANITA SPRM, Puan Sri Normah Mohd Zain; Timbalan Pentadbir Tanah Daerah Kuala Pilah, Akhmal Abu Basar serta Ketua Kampung Terentang, Roslan Kassim.

Mengulas lanjut, Azam berkata berkaitan kes DBKL, siasatan sudah lengkap dan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dengan cadangan untuk dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

"Saya berharap kalau boleh dituduh (kes DBKL) selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Malaysia (16 September) ataupun pada awal minggu pertama bulan depan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya untuk mempercepatkan semua kes berprofil tinggi berkenaan kerana tidak mahu masyarakat melihat seolah-olah SPRM melenggahkan siasatan.

"SPRM sentiasa berusaha untuk mempercepatkan kertas siasatan setiap kes yang dijalankan dan kebanyakannya ada yang telah diambil tindakan dalam bentuk punitif, bukan sahaja dituduh di mahkamah termasuk yang didenda, malah juga diambil tindakan dalaman jabatan," katanya.

Sebelum ini , media melaporkan, siasatan SPRM terhadap 14 syarikat miliki lesen import sah dalam Ops Sikaro mendapati menyalahguna dengan membuat pengisytiharan palsu bagi mengelak cukai dan membawa masuk barangan haram.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin dilaporkan berkata, modus operandi yang dikenal pasti termasuk menukar kod kastam dan butiran barangan untuk mengurangkan pembayaran cukai sebenar.

Bagi kes Ismail Sabri pula, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta, pada Mac lalu.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah 'safehouse', berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.

SPRM juga turut menyiasat transaksi pembelian hartanah dikaitkan dengan pegawai kanan gred Jusa B Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Sumber:Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel