KUALA LUMPUR: Maklumat dan kerjasama strategik antara institusi kewangan dengan agensi penguatkuasaan disifatkan amat kritikal dalam strategi 'menjejaki wang' bagi membanteras jenayah kewangan secara komprehensif.
Ketua Unit Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan, Noor Syazana Kamin, berkata pendekatan itu bukan sahaja membantu usaha mengesan hasil jenayah, malah memainkan peranan penting dalam mendakwa pesalah serta memulangkan semula aset kepada negara.
Kolaborasi erat antara fungsi pematuhan institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan membolehkan sebarang transaksi mencurigakan dikenal pasti pada peringkat lebih awal.
"Fungsi pematuhan dalam institusi kewangan bukan sahaja penting bagi memenuhi keperluan kawal selia, malah ia menjadi antara elemen utama dalam menyokong usaha penguatkuasaan melalui pengesanan awal aktiviti kewangan yang mencurigakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Following the Money: From Compliance to Asset Recovery (Practical Case Studies in AML Investigations) bersempena Persidangan Pematuhan Antarabangsa Labuan (LICC) 2026 Kedua di Financial Park Labuan, semalam.
Mengulas lanjut, Noor Syazana berkata, tindakan pantas mengenal pasti transaksi yang meragukan itu secara langsung akan menyokong siasatan jenayah kewangan, pembinaan kes pendakwaan serta pelaksanaan pemulihan aset di bawah rangka kerja pencegahan pengubahan wang haram (AMLA).
Bertemakan Due Diligence and Compliance: Navigating Global Uncertainty, persidangan berkenaan menghimpunkan kira-kira 200 pegawai pematuhan daripada institusi kewangan di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
Persidangan itu turut disertai oleh wakil agensi pengawal selia, institusi akademik serta pelbagai agensi penguatkuasaan.
Penyertaan SPRM dalam LICC 2026 menzahirkan komitmen berterusan suruhanjaya itu dalam memperkukuh jalinan kerjasama dengan sektor kewangan ke arah meningkatkan integriti, pematuhan dan tadbir urus yang baik.
Langkah ini juga dijangka terus memperkasa keupayaan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan aset hasil jenayah di negara ini.
Sumber : Berita harian online