Suami isteri didakwa buat tuntutan palsu lebih RM600,000

Tarikh: 18/10/2024
img

Tawau: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini terhadap 15 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan pembayaran keseluruhan RM655,512 kira-kira 11 tahun lalu.


Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Junaidi Abdul Rahman, 63, dan Pegawai Eksekutif Albina Ogor Abdullah, 50, sebuah syarikat berkaitan perdagangan petroleum masing-masing mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga.


Mengikut kesemua pertuduhan, Junaidi didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu Delivery Ticket Petron Oil (M) Sdn Bhd untuk membuat tuntutan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi pembayaran sejumlah 260,000 liter diesel ke Stesen Janakuasa Tawau.


Perbuatan itu menyebabkan SESB membayar sebanyak RM655,512 kepada syarikat Petrohub Corporation Sdn Bhd (PCSB) milik tertuduh yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Stesen Janakuasa Tawau, di sini, antara 8 hingga 11 April 2013.


Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sementara itu, Albina pula berdepan 15 pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.


Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifie dan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah Norsham Saharom, sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM, pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi.


Saharom turut memohon sebutan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Kota Kinabalu kerana kedua-dua tertuduh menetap di sana.


Jason membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan dan menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan semula kes.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel