Sudah 6 jam wanita dalam video berkait Shamsul Iskandar beri keterangan di SPRM

Tarikh: 28/11/2025
img

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan wanita yang berada dalam klip video perbualan bersama seorang ahli perniagaan bagi membantu siasatan membabitkan tohmahan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.

Menurut sumber, wanita berkenaan yang dikenali sebagai Sofia Rini Buyong hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira 2 petang dan sehingga jam 8 malam tadi, proses mengambil keterangannya belum selesai.

"SPRM juga menghubungi bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan dimaklumkan individu terbabit tidak dapat hadir hari ini kerana berada di Sabah.

"Beliau akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada petang esok.

"Ahli perniagaan bernama Albert Tei pula memaklumkan mempunyai masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan dan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi dirakam keterangan pada Isnin ini," katanya.

Menurut sumber, ketika ini, hanya tiga individu berkenaan dipanggil bagi dirakam keterangan dan SPRM akan melihat keperluan untuk memanggil saksi lain berdasarkan keperluan serta hasil siasatan.

"Jadi, mana-mana pihak yang dipanggil SPRM selepas ini perlu segera datang bagi membantu siasatan terutama apabila ia membabitkan kes serius seperti ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus Ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Sumber : Berita Harian Metro


MACC FM
My Anti-Corruption Channel