'Support local' sokonglah tayangan semula filem Konspirasi - Adi Putra

Tarikh: 18/09/2026
img

KUALA LUMPUR: Filem Konspirasi yang ditarik tayangan disifatkan bukan sekadar naskhah hiburan kosong, sebaliknya, mengangkat mesej penting dalam mendidik masyarakat mengenai keburukan jenayah rasuah.

Barisan pelakon utamanya, Esma Daniel dan Datuk Adi Putra berpendapat tayangan semula filem Konspirasi amat bertepatan sebagai platform kempen membanteras gejala rasuah yang mengkhianati negara.

Esma berkata, tindakan menghentikan tayangan filem Konspirasi disifatkan tidak adil disebabkan naskhah itu membawa mesej positif yang sangat bermakna kepada penonton.

"Ketika kali pertama ditayangkan dahulu, rasanya agak tidak adil bagi sebuah filem yang mencerminkan sesuatu yang baik iaitu berkempen membanteras rasuah.

"Sempena Hari Malaysia ini, mungkin kawan-kawan semua boleh bantu pihak penerbit yang berusaha membuat kelainan dalam industri filem untuk sama-sama memberi sokongan supaya filem ini dikeluarkan semula," katanya.

Sependapat dengan Esma, Adi Putra turut menggesa penonton agar memberikan sokongan padu terhadap karya tempatan yang berani mengetengahkan isu realiti masyarakat seperti rasuah.

Menurutnya, pemahaman mengenai isu rasuah tidak harus dilihat dari satu sudut sahaja, sebaliknya, perlu difahami secara menyeluruh oleh setiap lapisan masyarakat.

"Cerita yang baik harus kita sambut dengan baik. Agak sayang kalau kita asyik sebut 'support local', tetapi istilah kefahaman dan memahami itu tidak sama jika kita benar-benar mahu menyokong filem tempatan.

"Isu rasuah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara-negara lain pun wujud. Jadi kenapa kita tidak beri sokongan padu dan utuh sebagai pengajaran mengenai apa sebenarnya rasuah?

"Sebab kita kena tahu, adakah penerima sahaja yang bersalah atau memberi itu juga satu rasuah? Jadi anda kena tonton untuk mengetahuinya," katanya.

Penerbit filem Konspirasi, Jack Yeoh dilapor sedang berusaha untuk melancar dan menayangkan semula edisi khas filem berkenaan.

Filem Konspirasi arahan Ghaz Abu Bakar itu ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei lalu, namun, tayangan dihentikan serta-merta pada 28 Mei.


Sumber :Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel