KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu babitkan tuntutan kira-kira RM500,000.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga penjawat awam serta pengarah sebuah syarikat kontraktor disyaki bersubahat dengan seorang lagi lelaki.
"Lelaki terbabit ialah pengarah syarikat pembinaan yang sudah ditahan pada Isnin lalu.
"Suspek ditahan berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kontrak kerja-kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bernilai kira-kira RM500,000," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Matan palsu, biasanya dirujuk sebagai 'butir matan palsu' dalam konteks undang-undang, bermaksud maklumat, fakta, atau butiran penting yang direka, dipalsukan, atau tidak benar dimasukkan ke dalam dokumen untuk tujuan menipu.
Sumber : Berita Harian Online