KUALA LUMPUR: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang sebelum ini direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disambung reman tiga hari lagi.
Dua lagi individu yang juga pengendali sebuah platform kutipan derma yang turut direman empat hari berkait kes sama, turut disambung reman untuk tempoh sama.
Sumber berkata, perintah sambung reman tiga hari sehingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Siti Zahirah Zaidon selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
"Ini berikutan tempoh asal reman semua suspek selama empat hari tamat pada hari ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh reman berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Rabu lalu, semua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20-an hingga 30-an yang disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam ditahan SPRM.
Sumber berkata, semua suspek ditahan antara jam 6.30 petang hingga 11 malam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Susulan penahanan itu, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis lalu dan perintah reman selama empat hari sehingga hari ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.
Sumber berkata, suspek yang juga pasangan suami isteri dipercayai menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara betul sejak 2020.
Katanya, dianggarkan kutipan derma yang dibuat pasangan suami isteri itu mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih pada peringkat awal dan pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes itu.
Sumber: Berita HarianĀ