Kuala Lumpur: Beberapa tokoh perniagaan yang memiliki syarikat pengedar kereta mewah kini berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa keluar kenderaan itu dari Langkawi untuk pengurangan duti secara tidak sah.
Menurut sumber, SPRM sudah mengenal pasti individu terbabit dan pekerjanya yang dipercayai bersubahat membeli kereta mewah itu sebelum dijual semula.
"Siasatan SPRM dipercayai syarikat terbabit bersama pekerjanya membuat dokumen baru kenderaan mewah itu dan berselindung di sebalik perniagaan mereka yang memiliki lesen sah mengedar kereta mewah terbabit.
"Mereka ini dalam radar SPRM dan akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber berkata, turut berada dalam radar SPRM adalah tokoh perniagaan terkenal yang memiliki syarikat pengedar kereta mewah.
"Individu terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi dirakam keterangan, difahamkan ketika ini dia berada di luar negara.
"Siasatan masih berjalan bagi mengembalikan semula cukai kerajaan yang dilarikan sindiket sehingga menyebabkan negara mengalami kerugian jutaan ringgit," katanya kepada Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini mendedahkan sebanyak 100 kenderaan mewah termasuk McLaren dan Ferrari yang dibawa keluar dari Langkawi 'diburu' SPRM.
Kenderaan itu sedang dicari dalam operasi khas SPRM yang dijalankan selepas pemiliknya dipercayai bersekongkol dengan sindiket untuk membawa keluar kereta itu dari Langkawi dengan mendapat pengurangan duti kereta mewah secara tidak sah.
Siasatan SPRM mendapati ada 100 kenderaan mewah yang berada di atas jalan raya di seluruh negara selepas dibawa keluar dari Langkawi oleh sindiket terbabit.
Hasil operasi itu, SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang mengakibatkan ketirisan cukai kerajaan sehingga RM33 juta.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai berkata, kes disiasat masih dalam siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro