KUALA LUMPUR: Satu sesi taklimat lengkap bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kolam takungan banjir di ibu negara dijangka diadakan minggu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata taklimat itu akan membentangkan hasil siasatan berkaitan status kolam takungan banjir yang sebelum ini dilaporkan hanya berbaki kira-kira 30 peratus daripada saiz asal.
"Kita telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan taklimat lengkap mengenai hasil siasatan mereka dan taklimat itu sedang diusahakan untuk diadakan minggu ini.
"Taklimat ini akan dilaksanakan bersama Jabatan Wilayah Persekutuan; anggota Task Force; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan
"Selepas taklimat itu nanti, kita akan memaklumkan kepada media mengenai hasil siasatan dengan maklumat lebih terperinci," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara selepas siasatan dijalankan agensi itu pada 2022.
Keputusan tiada unsur rasuah dikenal pasti dan NFA itu diterima SPRM selepas hasil siasatan berkenaan dirujuk kepada DPP pada 2023.
Siasatan SPRM turut membabitkan penukaran status beberapa kawasan berhampiran kolam takungan air di ibu negara, termasuk di Taman Wahyu, bagi tujuan pembangunan.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar, mendedahkan pihaknya sebelum ini sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan proses kelulusan beberapa projek pembangunan yang dikatakan menjejaskan fungsi kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur.
Sumber : Berita Harian Online