SHAH ALAM: Seorang pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 20 pertuduhan memperdaya lapan ejen dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung bayaran upah enumerator atau petugas lapangan di antara 2019 hingga 2022. Tertuduh, Profesor Dr Lee Lai Soon, 49, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Datuk Anita Harun.
Mengikut pertuduhan, Lai Soon didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat memperdayakan lapan ejen berhubung tuntutan bayaran upah enumerator dengan jumlah keseluruhan RM45,366 yang mengandungi butir matan palsu dengan tuntutan bagi kerja yang tidak dilakukan. Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menggunakan satu set dokumen sebagai tulen bagi tuntutan bayaran upahan enumerator yang dipercayainya adalah palsu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Lai Soon didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di pejabat Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM Serdang pada 29 Oktober 2019 hingga 1 Jun 2022.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mengesyorkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan syarat tambahan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan Passport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan dan tidak mengganggu saksi kes. Peguam bela, Chen Woon Yong, yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 dengan alasan ia jumlah yang munasabah dan tidak membebankan.
Katanya, tertuduh juga bersedia memenuhi syarat tambahan yang dikemukan pihak pendakwaan. Anita kemudian membenarkan Lai Soon dijamin dengan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan dan tidak mengganggu saksi kes.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 September depan.
Sumber: Buletin TV3