Terima wang suapan bulanan RM20,000, timbalan pengarah, isteri ditahan SPRM Melaka

Tarikh: 07/01/2026
img

AYER KEROH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam dan seorang orang awam selepas disyaki menerima rasuah secara bulanan daripada syarikat swasta serta pemilik restoran bagi melindungi pekerja asing tanpa izin.

Empat suspek itu membabitkan seorang timbalan pengarah sebuah jabatan kerajaan dan isterinya serta dua pegawai penguat kuasa jabatan sama. Mereka semua direman selama enam hari sehingga 11 Januari ini.

Perintah reman terhadap mereka yang berusia antara 37 hingga 50 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas menerima permohonan dibuat SPRM.

Menurut sumber, dua daripada suspek iaitu pegawai kanan dan seorang anggota penguat kuasa dipercayai menerima wang suapan secara bulanan sebanyak RM20,000 daripada majikan atau syarikat sekitar Melaka dari 2021 hingga 2025.

Katanya, suapan itu sebagai balasan untuk melindungi premis terbabit serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menggaji pekerja asing tanpa izin dan tanpa permit kerja yang sah.

"Suspek wanita yang juga isteri kepada pegawai penguat kuasa kanan itu turut ditahan selepas disyaki bersubahat dengan suaminya dalam kegiatan rasuah berkenaan, termasuk membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan-majikan terbabit," katanya.

Sumber berkata, seorang lagi anggota penguat kuasa dipercayai menerima suapan berjumlah RM1,950 dari Januari hingga Julai lalu daripada pemilik restoran untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja warga asing yang bekerja di restoran berkenaan tanpa dokumen perjalanan yang sah awal tahun lalu.

Menurut sumber, pembayaran wang suapan kepada semua suspek dipercayai dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga melalui transaksi akaun bank.

Terdahulu, semua suspek yang ditahan di Pejabat SPRM Melaka antara jam 11.50 pagi hingga 4.50 petang semalam dibawa dengan menaiki kenderaan khas SPRM ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes berkenaan hasil kerjasama risikan dan operasi bersama Polis Diraja Malaysia serta disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel