'Tiada apa yang perlu disembunyikan' - Setiausaha Politik Hannah Yeoh

Tarikh: 27/11/2026
img

KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, Yap Yee Vonne hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kehadiran Yee Vonne di pejabat suruhanjaya itu bagi membantu siasatan berhubung isu lanjutan tempoh pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Yee Vonne berkata, beliau memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses rakaman percakapan dan sedia berkongsi sebarang maklumat atau penjelasan tambahan sekiranya diperlukan.

Katanya, seperti yang dijelaskan secara terbuka dan menyeluruh oleh Hannah di Dewan Rakyat, keputusan berhubung perkara itu dibuat selepas mengambil kira semua pertimbangan serta mengikut prosedur ditetapkan.

"Kami tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada apa yang perlu disembunyikan atau ditakuti.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pegawai SPRM atas profesionalisme yang ditunjukkan sepanjang proses rakaman percakapan berkenaan," katanya dalam kenyataan petang tadi.

Yee Vonne berkata, pihaknya memahami pegawai SPRM hanya menjalankan tugas dan menghormati sepenuhnya peranan suruhanjaya itu dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan SPRM seharusnya menumpukan tugas mereka dalam isu perkara lain yang lebih mendesak serta mempunyai kepentingan lebih besar kepada masyarakat.

Katanya, KLSCAH adalah institusi warisan yang mempunyai kepentingan sejarah dan kebudayaan, justeru wajar mendapat sokongan serta perlindungan bersama, bukannya terus dibelenggu kontroversi.


Sumber ; Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel