KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pertuduhan terhadap isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin berhubung kesalahan gagal mengisytiharkan harta, tidak menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan terhadap tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhujah, ia adalah kerana tiada saksi yang dipanggil setakat ini kerana perbicaraan terhadap Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 67, belum dimulakan.
Menurut Chin How, siasatan kes SPRM sukar untuk dilengkapkan kerana saksi cenderung untuk 'bersembunyi' di belakang hak mereka dan enggan memberi kerjasama.
Beliau berkata sekatan jenayah yang dikenakan terhadap saksi yang gagal membantu dan mematuhi siasatan SPRM, adalah berkadar dengan niat ketika undang-undang itu diluluskan.
"Kes terdahulu yang dipetik oleh pemohon (Na'imah) telah dikemukakan di luar konteks untuk mengekalkan tanggapan bahawa beliau sebagai saksi mempunyai hak untuk berdiam diri ketika siasatan.
"Bagaimanapun Seksyen 30(5) dan dan 36(2) Akta SPRM menyatakan, saksi tidak berhak untuk berdiam diri apabila dia dikehendaki membantu siasatan.
"Oleh itu, pemohon adalah di bawah tanggungjawab undang-undang untuk membantu SPRM berhubung kes pengisytiharan harta arwah suaminya dengan mematuhi notis di bawah seksyen 36(1)(b) SPRM," katanya.
Chin How berkata, persoalan berkaitan Seksyen 30(5) SPRM yang dibangkitkan pemohon tidak mempunyai kaitan langsung dengan perkara pertikaian atau pertuduhan itu.
Katanya, pemohon gagal menunjukkan bahawa seksyen berkenaan melanggar prinsip perlembagaan.
Chin How berkata demikian pada prosiding permohonan semakan Na'imah bagi merujuk persoalan undang-undang mengenai kesahihan pertuduhan gagal mengisytiharkan harta yang dihadapinya, ke Mahkamah Tinggi.
Pada prosiding hujahan 13 Jun lalu, Gurdial menghujahkan bahawa Mahkamah Sesyen tersalah tanggapan daripada segi undang-undang ketika menolak permohonan anak guamnya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Menurut Gurdial, persoalan itu menyentuh isu perlembagaan, antaranya hak individu untuk berdiam diri dan tidak dipaksa memberi keterangan yang boleh digunakan untuk mensabitkannya dalam suatu prosiding.
Katanya, pemohon telah dituduh atas dakwaan sengaja mengabaikan atau gagal mematuhi terma suatu notis bertarikh 8 November 2023 yang dikeluarkan di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM.
Menurut Gurdial, pertuduhan terhadap Na'imah berkemungkinan besar dibuat sebagai tindakan balas SPRM terhadapnya kerana gagal mematuhi notis berkenaan.
Hakim K Muniandy kemudian menetapkan tarikh keputusan pada 12 Ogos ini selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.
Na'imah memohon semakan supaya Mahkamah Tinggi menggunakan budi bicaranya untuk memanggil dan memeriksa rekod prosiding berhubung kesahihan atau kewajaran dapatan dan perintah yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen.
Beliau memohon rekod bagi prosiding itu kemudiannya dihantar ke Mahkamah Tinggi untuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Na'imah supaya persoalan undang-undang mengenai kesahihan tuduhan yang dihadapinya, dirujuk ke Mahkamah Tinggi selepas mendapati tiada isu perlembagaan berbangkit dalam kes berkenaan.