Tiada tolak ansur terhadap rasuah - Datuk Bandar KL

Tarikh: 16/08/2024
img

KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, memberi amaran kepada pegawai dan anggota penguat kuasa bahawa beliau langsung tiada toleransi terhadap rasuah sepanjang mentadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Maimunah yang memulakan tugasnya hari ini berkata, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam aspek rasuah dan penyalahgunaan kerana mahu DBKL dilihat sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berintegriti, akauntabiliti dan telus.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika siasatan mendapati mana-mana pegawai dan anggota penguat kuasa, menerima rasuah.

"Saya meminta ketua jabatan dan pengurusan eksekutif untuk memantau dan memberikan advokasi serta pendidikan kepada anggota penguat kuasa dan pegawai sebagai langkah pertama.

"Jangan sesekali ambil rasuah kali pertama, kerana akan adanya kali kedua, ...jika diberi suapan jangan ambil, apabila diambil, maka akan berturutan," katanya pada sidang media.

Pada masa sama, Dr Maimunah yang juga datuk bandar wanita pertama di negara ini, berkata pihaknya maklum akan tindakan mahkamah yang dikenakan terhadap pegawai DBKL. 

Hari ini, Timbalan Pengarah dan Pegawai Penguat Kuasa DBKL didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan meminta serta menerima rasuah dari penjaga pusat hiburan tanpa lesen.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah bagi menjalankan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu menggantikan Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.

Pelantikan berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, selaras dengan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Pada masa sama, Maimunah berkata, aspek pendidikan akan diterapkan sebagai langkah pertama dan jika ia masih tidak berjaya, aspek tindakan akan dilaksanakan.

Ada 9,000 kakitangan DBKL

"Saya seorang tidak boleh (hapuskan rasuah) sebab kita ada 9,000 kakitangan DBKL, jadi saya turut meminta ketua jabatan dan pengurusan eksekutif untuk memantau selain kita juga ada rakan dari SPRM.

"Kita didik dan bagi pengetahuan namun kalau sampai tahap di mana penjawat awam ini pasti melakukan rasuah berdasarkan siasatan dalaman DBKL atau SPRM, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan jika ada bukti yang sah," katanya.

Beliau berkata, amat penting untuk warga kerja DBKL mempunyai jati diri yang kuat dan mempunyai kesedaran yang kuat dalam menolak rasuah.

Katanya, semangat integriti yang ingin diterapkan itu adalah selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan aspek terbabit.

Sementara itu, Maimunah berkata, pihaknya mencadangkan supaya diwujudkan satu pasukan petugas membabitkan semua agensi kerajaan yang berkenaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membanteras pelacuran dan perjudian.

Beliau mahu Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang ceria (vibrant), kreatif dan bersih bukan sahaja dalam aspek sampah sarap, namun juga dari segi aktiviti negatif.

Bagi mencapai matlamat itu, semua agensi berkaitan perlu duduk semeja dan merangka pelan tindakan dalam aspek membersihkan Kuala Lumpur daripada aktiviti pelacuran dan perjudian.

"Dalam aktiviti yang tidak selari dengan garis panduan dan undang-undang ini, saya berpendapat tindakan tegas perlu diambil, ...DBKL ada 25 jabatan dan saya dimaklumkan ada tindakan sudah diambil.

"Namun ada juga aktiviti itu berkaitan dengan jabatan lain contohnya perjudian di bawah polis, ...DBKL hanya boleh melihat dalam aspek premis sahaja.

"Selain itu, jika membabitkan orang luar (pendatang asing) ia adalah di bawah Imigresen dan atas dasar itu mungkin satu 'taskforce' meliputi semua jabatan kerajaan berkaitan perlu diwujudkan," katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan misi itu, pihaknya juga bersedia melakukan kunjungan hormat kepada PDRM dan semua jabatan berkaitan.

Beliau mengulas laporan khas sebuah akhbar mengenai lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah berdekad-dekad lamanya wujud dan tidak selesai dihapuskan.

Harian Metro melalui laporan ekslusif bertajuk Hanyir Lubuk Dosa, mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.


Sumber: Berita Harian

MACC FM
My Anti-Corruption Channel