Tidak cukup keterangan dakwa Guan Eng ketika siasatan awal - saksi

Tarikh: 14/05/2026
img

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu, siasatan awal menunjukkan tiada keterangan mencukupi untuk mendakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kes rasuah projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Pegawai penyiasat kes, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahanan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 34, ketika diperiksa balas peguam bela Haijan Omar berkata, beliau mengetahui perkara itu pada permulaan Januari 2020 ketika menganggotai pasukan petugas khas siasatan skandal berkenaan.

Menurut Zulhilmi, ketika itu terdapat beberapa kertas siasatan dibuka berkaitan kes terowong dan jalan utama di Pulau Pinang yang disiasat oleh empat pegawai penyiasat.

Zulhilmi yang juga saksi pendakwaan ke-38 berkata, sekitar Jun 2020, beliau dilantik menganggotai pasukan siasatan kes terhadap Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, ketika mengambil alih kes berkenaan, beliau telah menerima fail siasatan mengandungi memo yang menyatakan bahawa tiada kes terhadap Ahli Parlimen Bagan itu.

Haijan: Setuju ketika mengambil alih kes ini, terdapat memo atau minit dalam fail yang menyatakan bahawa tiada kes terhadap anak guam saya?

Zulhilmi: Setuju.

Haijan: Apa perkara lain yang turut terkandung dalam memo berkenaan?

Zulhilmi: Apa yang saya faham, siasatan dihentikan.

Haijan: Siapa penulis memo berkenaan?

Zulhilmi: Saya tidak pasti, kemungkinan pegawai penyiasat Penguasa Kanan Rosli.

Haijan: Setuju atau tidak, perkara berkaitan memo dan tiada kes ini berterusan sehingga ke tahun 2020 sebelum kamu dilantik sebagai pegawai penyiasat?

Saksi: Setuju.

Menjelaskan lanjut, Zulhilmi berkata, jika terdapat keterangan yang tidak mencukupi, perkara itu perlu dilaporkan kepada ketua jabatan bagi membolehkan saksi dipanggil semula untuk melengkapkan siasatan.

Zulhilmi turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa keterangan tiga ahli perniagaan diambil bagi membantu siasatan iaitu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, Datuk Seri G Gnanaraja dan Datuk Ewe Swee Kheng (yang meninggal dunia pada Oktober 2021).

Menjawab soalan Haijan, saksi bersetuju bahawa walaupun keterangan ketiga-tiga saksi dirakam, ia tidak mencukupi untuk mendakwa Guan Eng.

Bagaimanapun saksi tidak bersetuju dengan cadangan Haijan bahawa siasatan hanya tertumpu kepada Guan Eng semata-mata, sebaliknya saksi itu menyatakan siasatan dibuat merangkumi semua aspek.

Mendiang Swee Kheng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.

Zulhilmi memberikan keterangan terhadap Guan Eng, 65, yang didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini antara jam 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 4 Jun ini.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel