Tiga ditahan SPRM kes sembunyi dokumen industri sawit

Tarikh: 05/08/2024
img

KUALA LUMPUR: Tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas disyaki menerima rasuah untuk menyembunyikan dokumen penting membabitkan syarikat industri minyak sawit. BH difahamkan ia membabitkan dokumen `Call Option Agreement' (COA) dan disembunyikan untuk tujuan tertentu seperti melengahkan pelaksanaan perjanjian.


Mereka yang yang ditahan itu adalah seorang wanita berusia 40an yang juga pengurus akaun syarikat dan dua lelaki berusia lingkungan 40an dan 50an. Sumber berkata, semua suspek itu ditahan sekitar jam 10 malam semalam hingga 1 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Putrajaya. "Suspek wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan transaksi penerimaan rasuah manakala dua suspek lelaki yang juga setiausaha syarikat pula ditahan kerana disyaki menerima rasuah bagi menyembunyikan beberapa dokumen penting berkaitan COA.


"Dokumen ini dipercayai disembunyikan oleh setiausaha syarikat untuk melambatkan pihak kedua daripada melaksanakan perjanjian COA yang ditandatangani pada Mac 2021 dan melengahkan penghakiman kes saman sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2022," katanya.


Majistret Norainina Shariful Anuar membenarkan perintah reman selama tiga hari sehingga Isnin terhadap suspek wanita manakala lima hari sehingga 7 Ogos terhadap dua suspek lelaki selepas permohonan di buat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi. Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi BH mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Sumber: Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel