MELAKA: Tiga kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pengiklanan.
Pertuduhan kes dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.
Ketiga-tiga tertuduh, iaitu Pegawai Khidmat Pelanggan, Patrick Tan Peng Sin, 34, Mohd Rozaiman Rahmat, 45, (pegawai tadbir) dan Suhana Surin,43, (pembantu tadbir) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu, masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan.
Patrick berdepan dua pertuduhan, manakala Mohd Rozaiman dan Suhana, masing-masing didakwa atas tiga dan empat pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, Patrik didakwa atas dua pertuduhan iaitu menerima rasuah wang tunai berjumlah RM4,500 daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma, Ong Ah Siong tanpa balasan dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, antara 1 hingga 14 Januari 2023.
Sementara itu, Rozaiman didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,400 (ketika bertugas di Unit Penguatkuasaan MPAG) daripada Ong dengan balasan yang tidak mencukupi melalui akaun bank miliknya, di Maybank Cawangan Alor Gajah, Jalan Simpang Ampat, dekat sini, pada 31 Mac 2022 dan 6 September 2022.
Bagi pertuduhan ketiga, dia (ketika kejadian bertugas sebagai Ketua Unit Kutipan Tunggakan di Unit Kutipan Tunggakan MPAG) dituduh menerima rasuah RM500 daripada individu sama dengan balasan yang tidak mencukupi, di tempat sama pada 18 April 2023.
Suhana yang juga Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat MPAG pula didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM1,900 bagi dirinya daripada individu sama tanpa balasan, dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di PBT berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di daerah ini pada tarikh berasingan antara 10 hingga 20 Julai 2022, 1 hingga 10 November 2022, 5 hingga 20 Januari 2023 dan 10 April hingga 19 April 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport di serah kepada mahkamah bagi setiap tertuduh.
Patrik dan Rozaiman yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana tidak mampu dan mempunyai tanggungan keluarga dan komitmen yang banyak.
Peguam Muhd Denial Khairul Hizam yang mewakili Suhana juga memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh menanggung tiga anak berusia 21, 13 dan enam tahun.
Selepas meneliti rayuan mahkamah membenarkan semua tertuduh membayar ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.
Kes Patrik dan Rozaiman ditetapkan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam pada 13 Ogos depan, manakala Suhana pada 22 Ogos.
Sumber: Berita Harian