Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mula memanggil beberapa pegawai penguat kuasa di Sarawak bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiga individu membabitkan penguatkuasan di Sarawak sudah dipanggil bagi membantu siasatan hari ini.
"Sama ada (mereka) ditahan atau tidak belum pasti namun siasatan sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Harian Metro hari ini melaporkan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Majistret Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia 40-an direman selama empat hari sehingga 29 Ogos ini manakala adik perempuannya berusia 30-an direman selama satu hari sehingga esok.
Terdahulu sindiket penyeludupan diesel bersubsidi yang dipercayai menyeleweng bahan milik persatuan nelayan itu serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak, digempur SPRM semalam.
Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sarawak itu turut menahan lima individu termasuk pengusaha stesen minyak.
Operasi dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak yang mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.
Sumber: Harian Metro