Timbalan pengarah, 5 anggota penguat kuasa PBT lindung premis pelacuran, lesen Ali Baba didakwa esok

Tarikh: 15/08/2024
img

Kuala Lumpur: Timbalan pengarah dan lima penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melindungi premis pelacuran dan perniagaan menggunakan lesen 'Ali Baba' akan didakwa di mahkamah, esok.

Menurut sumber, pegawai kanan berkenaan bersama seorang pegawai bawahannya akan didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima wang rasuah daripada premis pelacuran di ibu negara.

Katanya, empat lagi penguat kuasa PBT yang sama pula akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur masing-masing atas satu pertuduhan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen Ali Baba di ibu negara.

"Pegawai kanan PBT berkenaan akan didakwa atas tiga pertuduhan kerana meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM130,000, manakala seorang pegawai bawahannya akan dituduh atas satu pertuduhan meminta wang rasuah daripada premis pelacuran.

"Sementara itu, empat penguat kuasa terbabit pula didakwa kerana menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM800 daripada premis yang menggunakan lesen Ali Baba bagi melindungi mereka daripada dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Pada awal Jun lalu, media melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, menahan tiga penjawat awam termasuk seorang Timbalan Pengarah dalam satu operasi khas kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis urut dan pelacuran di ibu kota.

Sekitar Julai lalu, media turut melaporkan bahawa SPRM Kuala Lumpur menahan lapan penguat kuasa PBT kerana dipercayai menerima rasuah daripada premis-premis perniagaan yang beroperasi tanpa lesen yang sah serta menggunakan lesen Ali Baba.

Laporan muka depan Harian Metro bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' pada Jun lalu membongkar semula lubuk pelacuran lama di ibu negara seperti yang tertua sekitar Pudu.

Pendedahan secara bersiri berkenaan sudah mendapat perhatian pelbagai pihak dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakini ada elemen sogokan menyebabkan kegiatan sudah berdekad-dekad itu tidak selesai, dan ia turut diperakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Harian Metro bermula 7 Jun lalu secara eksklusif turut mendedahkan di muka depan bertajuk 'Wang Ekspres' dan 'Ali Baba Kebal' yang disiarkan pada 16 Julai lalu mendedahkan warga asing mendominasi perniagaan di Lembah Klang dan berselindung di sebalik lesen warga tempatan.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel