Timbalan pengarah, anggota DBKL didakwa rasuah lindung premis hiburan tanpa lesen

Tarikh: 16/08/2024
img

Shah Alam: Timbalan pengarah dan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa meminta dan menerima suapan bagi melindungi premis hiburan tanpa lesen di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Muhamad Irwan Abdullah, 44, dan Zahari Muhammad, 34, yang masing-masing berdepan tiga serta dua pertuduhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama meminta suapan wang tunai berjumlah RM200,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang penguatkuasaan ke atas pusat hiburan tanpa lesen sah di bawah jagaan Chan Sai Loke.

Kesalahan itu dilakukan di restoran di Puchong, Selangor, sekitar Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut akta sama kerana secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai berjumlah RM160,000 secara bulanan daripada penjaga berusia 62 tahun itu di lokasi sama dan sekitar masa yang sama.

Muhamad Irwan turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada individu sama di parkir restoran berkenaan, kira-kira jam 9 malam pada 5 Jun lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut akta sama yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Aliff Shaharuzaman yang mengendalikan kes memohon jaminan RM50,000 setiap tertuduh dengan tiga syarat tambahan iaitu lapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Mak Ahh Keong yang mewakili Muhamad Irwan bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya yang berpendapatan kira-kira RM9,000 sebulan akan digantung tugas, namun perlu menanggung isteri dan lima anak yang memerlukan perbelanjaan harian besar.

Manakala Peguam Ahmad Faiz Munawar yang mewakili Zahari merayu pengurangan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya bukan hanya menanggung isteri dan anak tetapi ibu yang sudah uzur di Pahang.

Selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan serta membenarkan tiga syarat tambahan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 30 September depan.

Harian Metro menerusi laporan ekslusif mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

Pendedahan secara bersiri itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meyakini ada elemen sogokan menyebabkan kegiatan sudah berdekad-dekad itu tidak selesai, dan ia turut diperakui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan itu, SPRM menahan tiga penjawat awam termasuk seorang Timbalan Pengarah dalam satu operasi khas kerana dipercayai menerima rasuah secara bulanan daripada premis urut dan pelacuran berkenaan.


Sumber: Harian Metro

MACC FM
My Anti-Corruption Channel