Timbalan pengarah, pegawai penguat kuasa DBKL diarah bela diri tuduhan terima rasuah RM160,000 secara bulanan dari pusat hiburan tanpa lesen

Tarikh: 16/10/2026
img

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan seorang pegawai kanan polis serta timbalan pengarah dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membela diri atas tuduhan rasuah yang dihadapi mereka.

Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin, membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Asisten Superintendan Eddie Lau Lay Chuong, 45, serta Muhamad Irwan Abdullah, 46, dan Zahari Muhammad, 36.

Berdasarkan pertuduhan, Eddie ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya memperoleh suapan RM10,000 daripada seorang lelaki berusia 59 tahun sebagai dorongan menutup siasatan terhadap pekerja syarikat lelaki berkenaan di bawah Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kafe di Petaling Jaya, kira-kira jam 4.18 petang pada 6 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding berasingan, Muhamad Irwan dan Zahari didakwa dengan niat bersama meminta suapan bernilai RM200,000 dan menerima RM160,000 secara bulanan daripada seorang lelaki berusia 64 tahun.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang penguatkuasaan ke atas premis-premis pusat hiburan tanpa lesen yang sah di bawah jagaan lelaki itu.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Puchong pada Februari 2024.

Muhamad Irwan juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM130,000 daripada lelaki sama untuk tujuan yang sama di tempat sama pada jam 9 malam, 5 Jun 2024.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Peguam, Kirthi Raj, mewakili Eddie, manakala peguam, Syamil Mohd Othman, mewakili Muhamad Irwan dan Zahari, memaklumkan anak guam masing-masing akan memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub dan Pegawai Pendakwa Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi.

Mahkamah menetapkan 19 November depan bagi sebutan untuk Eddie dan 13 November bagi Muhamad Irwan dan Zahari.


Sumber - Berita HarianĀ 

MACC FM
My Anti-Corruption Channel