"Prolintas menegaskan bahawa syarikat ini mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran integriti dan tadbir urus serta akan mengambil semua tindakan yang perlu untuk menangani isu ini serta melindungi kepentingan syarikat," menurut kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Prolintas, pihaknya serius dalam menghadapi tuduhan itu dan memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan yang dijalankan oleh SPRM.
"Kami akan terus memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan dalam perkara ini.
"Prolintas komited dalam mencapai piawaian tertinggi integriti dan tadbir urus korporat dalam semua operasi perniagaan kami.
"Kami akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan proses dalaman kami kukuh dan selaras dengan amalan terbaik tadbir urus," menurut kenyataan itu.
Pagi tadi, Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM70,000 pada 12 April 2023.
Bagaimanapun, tertuduh, Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Sementara itu, media turut melaporkan pengurus projek sebuah anak syarikat konsesi lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor, pada 23 Januari lalu.
Beliau dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM50,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja pembinaan lebuh raya, dua tahun lalu.
Zairulnizam Rohani, 47, didakwa menerima rasuah RM10,000, RM30,000 dan RM10,000 daripada seorang individu menerusi pemindahan dalam talian ke akaun sebuah bank milik isterinya.
Suapan itu sebagai upah bagi membantu sebuah syarikat kontraktor pembinaan mendapatkan kerja membina dan menyiapkan projek lebuh raya.
Sumber : Berita HarianĀ