PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung penukaran plot tanah milik kerajaan negeri kepada hak milik persendirian di sebuah lokasi di Pahang.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pembinaan jalan dilakukan di atas tanah rizab milik kerajaan itu yang sudah ditukar hak milik kepada sebuah syarikat yang mengoperasikan sebuah pusat peranginan terkemuka.
Kata sumber, proses pertukaran hak milik itu dipercayai dilakukan secara tergesa-gesa selain terdapat bayaran tertentu dibuat oleh syarikat berkenaan kepada agensi kerajaan terlibat.
Sumber berkata, tanah tersebut diberikan kepada syarikat itu dengan status pembangunan sedangkan tanah rizab itu sepatutnya untuk binaan jalan sebagai laluan utama ke pusat peranginan terbabit.
“Susulan itu, SPRM memohon perintah reman ke atas dua individu masing-masing berusia 67 dan 52 tahun di Mahkamah Putrajaya, semalam bagi membantu siasatan pindaan hak milik tanah itu.
“Kedua-dua individu itu memegang jawatan tertinggi syarikat peranginan itu direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini,” katanya di sini.
Kata sumber itu, siasatan dilakukan SPRM di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Baru-baru ini, tular gambar pemasangan struktur di jalan berkenaan menuju ke sebuah pusat peranginan terkemuka sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.
Namun, agensi kerajaan terlibat menegaskan bahawa projek pembinaan plaza tol di lokasi itu tidak mempunyai kaitan dengan agensi itu.
Agensi itu dalam satu kenyataan berkata, ia bukan jalan yang diwartakan sebagai jalan Persekutuan.
Sebaliknya, ia adalah jalan persendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana lebuh raya bertol di sekitar kawasan itu.
Sumber: Utusan Malaysia