Kota Kinabalu: Seorang kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki membuat tuntutan mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan pakaian korporat sebuah pejabat pendidikan daerah di negeri ini bernilai RM12,500.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira jam 3 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2023.
"Suspek disyaki membuat tuntutan palsu berkaitan pembekalan pakaian korporat bernilai kira-kira RM12,500.
"Sedangkan pembekalan yang hanya dibuat bernilai kira-kira RM4,500," katanya.
Sumber berkata, hasil siasatan turut menyita wang tunai kira-kira RM8,000 yang disyaki wang pembekalan yang tidak dilaksanakan dan diserahkan suspek kepada seorang pegawai pendidikan daerah pada akhir tahun 2023.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sumber: Harian Metro