KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus memburu jerung rasuah yang ketika ini bersembunyi di sebalik gelaran kenamaan dan individu mempunyai kuasa. Penganalisis rasuah, Noor Mohamad Shakil Hameed, berkata sempena ulang tahun ke-56, SPRM harus membuktikan bahawa mereka kekal bebas dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan atau siasatan terpilih.
Katanya, SPRM perlu fokus kepada kes-kes yang sensitif dan membabitkan dana rakyat yang besar supaya dapat memberi impak yang signifikan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negara.
"Jerung-jerung rasuah yang ada perlu terus dicari dan diburu. Mereka ini bersembunyi di sebalik apa jua nama, gelaran mahupun individu yang berkuasa.
"Tangkap dan bawa mereka ke muka pengadilan dengan segera. Buktikan kepada rakyat bahawa SPRM sememangnya bebas, tidak tunduk kepada mana-mana tekanan politik serta tiada amalan pendakawaan terpilih seperti yang dituduh oleh pihak tidak bertanggungjawab. Penting untuk SPRMterus mendapatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat," katanya kepada BH, di sini hari ini.
BH hari ini melaporkan, SPRM akan memfokuskan kes-kes berprofil tinggi yang mengakibatkan kehilangan dana rakyat sebagai misi dan visi utama agensi itu pada masa hadapan.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki, berkata sempena sambutan ulang tahun ke-56, SPRM harus bergerak lebih pantas dalam menangani isu rasuah yang berimpak tinggi melalui mempunyai strategi-strategi yang berkesan dengan menggunakan teknologi baharu.
Antara strategi utama SPRM adalah mengurangkan ketirisan wang rakyat disebabkan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab melakukan rasuah dan salah laku.
Mengulas lanjut, Mohamad Shakil berkata, visi dan misi SPRM untuk bertindak dengan pantas, kemungkinan besardapat menebus semula dana yang disalahguna, menyelesaikan kes berprofil tinggi, menghukum individu yang mengkhianatidan meredakan keresahan rakyat,
"Pendekatan ini juga dilihat selari dengan hasrat Perdana Menteri sendiri yang sangat menitikberatkan soal tatakelola dan tadbir urus yang baik di semua peringkat pentadbiran," katanya.
Katanya, memasuki usia ke-56 tahun, wajar untuk agensi penguatkuasaan itu lebih berfokus dengan penyususunan strategi yang lebih cekap dan efisiyen dalam usaha membanteras rasuah baik dari aspek pencegahan mahupun penguatkuasaan.
"Dalam pencegahan, usaha mewujudkan kesedaran perlu banyak fokus kepada golongan muda baik di sekolah mahupun insitusi pengajian tinggi (IPT) supaya kita dapat melahirkan generasi masa hadapan yang berani tolak atau katakan tidak kepada rasuah.
"Kita tidak mahu generasi muda yang ada hari ini mewarisi budaya korupsi dan penyelewengan daripada senior mereka bila mula bekerja di sesuatu organisasi. Justeru perlu ligatkan segala usaha dan inisiatif untuk membina daya tahan menolak rasuah dalam kalangan belia negara ini," katanya.
Katanya, SPRM hari ini sudah melalui transformasi yang betul antaranya, pelbagaitangkapan dan rampasan semula dana kerajaan serta aset yang dibeli dengan menggunakan duit rakyat membuktikan SPRM berada di landasan yang betul.
"Pendekatan yang lebih cekap dan efisyen selain segera bertindak dilihat mula menjadi identiti SPRM yang menggembirakan rakyat terutamanya dalam konteks menyelamatkan dana rakyat dan membersihkan negara dari rasuah dan penyelewengan yang semakin membimbangkan.
Mohamad Shakil berkata, kes berprofil tinggi yang diselesaikan oleh SPRM juga dapat meleraikan keresahan rakyat yang mahukan jawapan yang sebenar.
Sumber: Berita Harian