UM johan Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025

Tarikh: 13/10/2025
img

BANGI: Universiti Malaya (UM) dinobatkan johan Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu melayakkan barisan pendebat UM iaitu Azhad Hafiz Md Razip Han, Muhammad Ammar AkrimiAzman, Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull dan Nur Amirah Syahirah Khairul Shakir membawa pulang hadiah wang tunai RM14,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil.

Pasukan UM yang berperanan sebagai pencadang (kerajaan) menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di posisi pembangkang menerusi usul bertajuk 'Demi menangani kes rasuah dewan ini akan mengutamakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI)'.

Azhad menyifatkan kemenangan itu rezeki bagi latihan yang sudah dibuat sejak setahun lalu.

"Alhamdullilah, pertandingan kali ini memberi peluang kepada kami untuk mencuba sekali lagi sebab tahun lepas kami tidak berjaya ke peringkat akhir.

"Rezeki tahun ini kami diberi kemenangan. Kami bersyukur sangat-sangat sebab ini perjalanan kami panjang. Tiada kata yang dapat katakan selain syukur kepada Tuhan yang memberi rezeki kepada kami," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Pasukan UPNM selaku naib juara menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil.

Anugerah penghargaan disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Azam ketika hadir dalam pertandingan akhir debat itu berkata, beliau kagum melihat pelajar tempatan yang semakin berani berdebat dengan isi dan gaya penyampaian yang berkualiti tinggi.

Katanya, berdebat yang sesungguhnya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk melatih diri berani menyuarakan kebenaran dalam kehidupan seharian.

"Dalam 42 tahun saya berkhidmat, saya melihat evolusi isu rasuah sejak 1984, dan perjuangan ini masih perlu diteruskan.

"Rasuah ini ibarat kanser dan jika ia tidak dikawal, ia akan merebak dan merosakkan sistem pentadbiran serta masyarakat," katanya.

Justeru, katanya, negara perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan teknologi baharu, termasuk AI bagi meningkatkan keberkesanan usaha membanteras rasuah.

"SPRM bukan hanya menegakkan undang-undang, tetapi juga mendidik masyarakat agar menolak rasuah sebagai budaya," katanya.

Pertandingan debat anjuran SPRM itu mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia yang diadakan di UKM bermula 10 Oktober lalu membabitkan penyertaan sebanyak 40 pasukan dengan 160 peserta.

Hadir sama, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ts Dr Norinsan Kamil Othman.


Sumber: Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel