Victor Chin Saman 'Mafia Korporat'

Tarikh: 08/04/2026
img

PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Victor Chin, mendedahkan beliau telah memfailkan saman terhadap kumpulan yang didakwanya sebagai 'mafia korporat'.

Kumpulan itu dikatakan diketuai seorang ahli perniagaan berpengaruh yang disifatkannya sebagai dalang di sebalik 'cubaan merampas' sebuah syarikat teknologi berasaskan keselamatan.

Dalam kenyataan, Chin berkata individu berkenaan, yang dinamakan sebagai defendan pertama, menggunakan pengaruhnya untuk mengenakan tekanan penguatkuasaan terhadap kepimpinan dan pemegang saham syarikat itu, termasuk melalui siasatan di bawah pasukan petugas khas anti-pengubahan wang haram Bukit Aman.

Beliau mendakwa tekanan itu membawa kepada pembekuan akaun bank dan Sistem Depositori Pusat (CDS), penahanan reman individu yang dikaitkan dengan pemegang saham syarikat, serta ugutan terhadap syarikat yang memiliki pegangan saham besar dalam entiti tersenarai awam berkenaan.

Berdasarkan nombor kes yang diberikan Chin, perkara itu dijadualkan untuk e-semak di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Adira Adnan, pada 5 Mei jam 9 pagi.

Pada 30 Mac lalu, polis mengesahkan Chin adalah antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi operasi khas dikenali sebagai Op Viking.

Ketua Unit Siasatan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Bukit Aman, Fazlisyam Abd Majid, berkata Chin ditahan pada Disember tahun lalu dan telah dibebaskan dengan jaminan polis, namun boleh dipanggil semula jika perlu.

Beliau berkata kes itu membabitkan beberapa individu yang disyaki melakukan kesalahan pengubahan wang haram melalui pelbagai kaedah, termasuk pemerolehan atau pemilikan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia serta syarikat persendirian.

Operasi itu turut menyaksikan pembekuan dan rampasan pelbagai aset, termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan, 1,100 saham dalam dua syarikat sendirian berhad, akaun CDS berjumlah RM323,588,293, akaun dagangan bernilai RM64,246,417 serta 404 akaun bank membabitkan RM85,624,528.

Pada 16 Mac, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwaan mengenai gerakan korporat membabitkan SPRM mula timbul menerusi laporan Bloomberg pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan gesaan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

Laporan itu mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif menjual saham dalam syarikat sasaran, seterusnya memaksa pengambilalihan.

Kabinet kemudian mengarahkan polis, Suruhanjaya Sekuriti, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menjalankan siasatan menyeluruh tanpa mengehadkan skop kepada individu yang sedang disiasat ketika ini.

Chin turut menegaskan beliau bersedia mendedahkan semua maklumat berkaitan sekiranya diperlukan di bawah kerangka perundangan yang sewajarnya, termasuk melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja.

"Melalui proses rasmi sebegini sahaja saya dapat, dan wajib, berkongsi sepenuhnya serta secara terperinci apa yang saya ketahui," katanya.


Sumber : Berita Harian Online

MACC FM
My Anti-Corruption Channel