APABILA disebut rasuah, gambaran sering muncul dalam fikiran masyarakat ialah wang diserahkan kepada seseorang atau pegawai kerajaan sebagai balasan mendapatkan sesuatu kelulusan atau projek.
Gambaran itu tidak salah, tetapi terlalu sempit untuk memahami bagaimana rasuah boleh berlaku dalam sistem pentadbiran, perniagaan dan kehidupan seharian.
Hakikatnya, rasuah mempunyai seribu satu wajah. Ia boleh hadir dalam bentuk wang tunai, hadiah hari lahir, tajaan percutian, pembayaran yuran pengajian anak, pembelian komputer riba, pembiayaan umrah, barangan kemas, keahlian kelab golf, malah pembayaran hutang peribadi dan perbelanjaan keluarga.
Lebih membimbangkan, pemberian itu boleh berselindung di sebalik istilah kedengaran baik seperti tanda penghargaan, hadiah persahabatan, tajaan kebajikan atau sumbangan ikhlas.
Persoalannya, bilakah hadiah bertukar menjadi suapan. Bilakah persahabatan mencetuskan konflik kepentingan dan bilakah layanan istimewa menjadi alat untuk mempengaruhi keputusan.
Persoalan ini perlu diberikan perhatian kerana rasuah tidak semestinya berlaku secara terbuka atau membabitkan wang bertukar tangan di hadapan saksi.
Pemberi dan penerima lazimnya mempunyai kepentingan untuk menyembunyikan urus niaga, sekali gus menyukarkan usaha mengesan salah laku.
Bagaimanapun, perbuatan itu mungkin meninggalkan petunjuk menerusi perubahan gaya hidup tidak dapat dijelaskan, corak keputusan luar biasa, hubungan rapat dengan pihak berkepentingan serta pelanggaran prosedur secara berulang.
Bayangkan seorang pegawai berpendapatan sederhana tiba-tiba menikmati kemewahan tanpa penjelasan munasabah.
Pada masa sama, kontraktor berulang kali gagal memenuhi spesifikasi kerja terus menerima bayaran tanpa masalah.
Lebih mencurigakan apabila kakitangan menegur kelemahan itu ditekan, sedangkan kontraktor berkenaan terus diberikan layanan istimewa.
Adakah keadaan ini membuktikan rasuah berlaku. Tidak semestinya. Namun, petunjuk sedemikian tidak wajar diabaikan hanya kerana tiada siapa melihat wang diserahkan atau manfaat diterima.
Setiap organisasi perlu ada dasar jelas
Petunjuk bukan bukti muktamad, tetapi boleh menjadi asas kepada pemeriksaan dan siasatan mengikut saluran yang sah.
Manfaat mungkin disalurkan melalui pembayaran premium tanah, pembelian barangan kemas, perbelanjaan hiburan, penggunaan akaun saudara-mara atau tajaan perjalanan ibadah.
Dalam keadaan tertentu, penerima manfaat bukan individu mempunyai kuasa membuat keputusan, sebaliknya pasangan, anak atau orang yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 merangkumi pelbagai bentuk suapan, bukan sekadar wang tunai. Namun, tidak semua hadiah, tajaan atau hubungan peribadi boleh dianggap rasuah secara automatik.
Penilaian perlu mengambil kira tujuan pemberian, fakta yang ada serta kaitannya dengan tindakan atau keputusan rasmi.
Sempadan ini turut penting dalam hubungan sosial antara pegawai dengan kontraktor. Menghadiri rumah terbuka, majlis hari raya atau acara keluarga tidak semestinya menjadi kesalahan.
Namun, hubungan sedemikian boleh menimbulkan konflik kepentingan jika menjejaskan kebebasan pegawai melaksanakan tugas.
Risiko menjadi lebih besar apabila pegawai keberatan mengambil tindakan terhadap kontraktor melanggar syarat, mengetepikan teguran kakitangan bawahan atau meluluskan bayaran, walaupun kerja belum disempurnakan.
Oleh itu, setiap organisasi perlu mempunyai dasar jelas mengenai hadiah, layanan hospitaliti dan konflik kepentingan, termasuk kewajipan mengisytiharkan hubungan dengan pihak berkepentingan.
Rasuah juga tidak semestinya terhad kepada petugas barisan hadapan. Kelemahan kawalan pada peringkat pemeriksa, pengurus cawangan, operasi dan sumber manusia boleh membuka ruang kepada salah laku yang akhirnya menjadi budaya organisasi.
Keadaan bertambah buruk apabila pekerja membangkitkan ketidakpatuhan dianggap menyusahkan, manakala mereka yang berkompromi dengan salah laku terus diberikan kepercayaan atau ganjaran. Dalam suasana ini berdiam diri dilihat lebih selamat daripada mempertahankan integriti.
Sebab itu, perlindungan pemberi maklumat perlu diperkukuh melalui saluran pelaporan melindungi kerahsiaan, pengendalian aduan secara bebas dan perlindungan daripada tindakan balas mengikut undang-undang.
Pada masa sama, hak individu dilaporkan mesti dipelihara supaya tidak menjadi mangsa fitnah atau tuduhan tanpa asas.
Paling penting, usaha membanteras rasuah tidak boleh bergantung pada tangkapan sahaja selepas kesalahan berlaku. Ia menuntut audit dalaman yang meneliti bukan sahaja kelengkapan dokumen, malah sebab kontraktor tertentu berulang kali diberikan pengecualian, bayaran diluluskan, walaupun berlaku ketidakpatuhan dan keputusan terus memihak kepada pihak sama.
Analisis data boleh membantu mengesan pola luar biasa, tetapi penilaian manusia, pengesahan bukti dan proses yang adil tetap diperlukan.
Pendidikan masyarakat mengenai pelbagai bentuk rasuah, petunjuk awal, konflik kepentingan dan kaedah membuat laporan secara bertanggungjawab perlu diperluas kepada sektor awam, swasta dan institusi pendidikan.
Perjuangan menentang rasuah bukan tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja. Ia menuntut komitmen pemimpin, penjawat awam, pengurusan organisasi dan masyarakat untuk memastikan amanah tidak dikorbankan demi kepentingan peribadi.
Malaysia tidak akan berjaya membina budaya integriti jika masyarakat hanya berani bersuara selepas seseorang ditangkap. Kita perlu berani mengemukakan persoalan, merekodkan fakta dan melaporkan kecurigaan mempunyai asas munasabah melalui saluran sah.
Namun, keberanian itu mesti berjalan seiring dengan keadilan. Seseorang tidak boleh dianggap bersalah hanya kerana gaya hidup mewah, khabar angin atau persepsi masyarakat.
Jika rasuah mampu menyamar sebagai hadiah, kebajikan, persahabatan dan penghargaan, integriti mesti diterjemahkan melalui keberanian menolak pemberian yang meragukan, ketegasan menangani konflik kepentingan dan kesediaan membetulkan kelemahan.
Jangan tunggu wang ditemui dalam sampul untuk mula bertindak. Kita tidak boleh biarkan alasan tiada bukti menjadi sebab menutup mata terhadap petunjuk wajar diperiksa.
Pencegahan rasuah yang berkesan bermula apabila amanah dipertahankan sebelum kerosakan merebak ke seluruh sistem.
Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)