KUALA LUMPUR: Alah bisa tegal biasa. Mungkin itu perumpamaan yang sesuai diberikan kepada situasi Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini yang bukan sahaja sentiasa menjadi perhatian rakyat tetapi turut ditohmah dengan pelbagai persepsi negatif.
Tidak menoleh ke belakang, Azam yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam gerakan antirasuah, tetap melangkah ke hadapan dan meninggalkan setiap kecaman yang diberikan kepadanya.
Beliau yang berusia 62 tahun pada tahun ini juga mengakui, tidak akan sesekali berganjak atau larut dalam emosi sekiranya bertubi-tubi ditekan dengan tanggapan yang negatif.
Katanya, walaupun berdepan dengan pelbagai isu khususnya ketika kes-kes rasuah berprofil tinggi muncul, tidurnya kekal lena malah tidak berdepan masalah sampingan yang menjejaskan kesihatannya.
"Saya boleh tidur malam peluk bini saya. Saya tak makan ubat pun. Saya buat kerja saya. Apa yang diberikan kuasa kepada saya dan tanggungjawab saya," katanya sewaktu menjadi tetamu podcast Borak Harini, di sini.
Dakwaan masyarakat SPRM tak bebas
Azam berkata demikian ketika ditanya mengenai persepsi dan dakwaan masyarakat bahawa SPRM tidak bebas dalam menyiasat kes rasuah walaupun secara dari fakta menunjukkan sebaliknya apabila suruhanjaya itu menahan bekas pegawai kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Penahanan itu membabitkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, November lalu, atas dakwaan kesalahan meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima rasuah.
Pada 4 Disember lalu, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan bersetuju menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri, iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat-syarikat dimiliki Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Pada masa sama, Azam berkata, pihaknya melihat, masyarakat hanya akan menganggap sesuatu tindakan itu betul, jika mengikut kehendak mereka.
Beliau berkata, sedangkan hakikatnya SPRM hanya menjalankan tanggungjawab dan bukan bidang tugas mereka untuk membuat kaji selidik mengenai persepsi masyarakat dalam setiap tindak tanduk suruhanjaya itu dalam pembongkaran setiap kes rasuah.
"Apabila tanggungjawab diberi kepada saya dan pegawai, takkan saya hendak bertanya merata. Keputusan yang kita buat ini berdasarkan undang-undang, berdasarkan panduan sedia ada dan juga berdasarkan juga kepada tindakan yang kita fikir betul.
"Sebenarnya kami tidak boleh lari sangat daripada perhatian masyarakat. Itu norma sekarang. Jadi, boleh dikatakan SPRM ini memang jadi perhatian masyarakat sekarang," katanya.
Beliau berkata, isu kebebasan SPRM dalam aspek penyiasatan tidak seharusnya dipertikaikan kerana suruhanjaya itu dipantau oleh lima jawatankuasa.
"Kalau nak cakap soal kebebasan. Struktur (set up) yang ada sekarang ini menunjukkan kita sudah bebas. Dari segi penyiasatan dan sebagainya.
"Kami tidak buat keputusan. Keputusan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara. Namun begitu, bukan saya nak menyalahkan Peguam Negara kerana Peguam Negarapun membuat keputusan berdasarkan siasatan kami," katanya yang memaklumkan SPRM kini mempunyai kira-kira 2,500 pegawai penyiasat.
Sumber : Berita Harian Online