SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan telah menahan seorang penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan kerana disyaki menggunakan jawatan untuk mendapatkan wang tuntutan berjumlah lebih RM200,000.
Menurut sumber SPRM, suspek seorang wanita berusia 30-an itu ditahan kira-kira pukul 1 petang tadi ketika hadir di pejabat SPRM Negeri Sembilan untuk memberi keterangan.
“Suspek disyaki menyalahgunakan jawatannya pada tahun 2020 hingga 2023 dalam mengadili kes tuntutan kewangan di mana wang tuntutan tersebut diterima sebagai suapan bagi dirinya sendiri,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi tujuan permohonan reman esok pagi.
Sumber: Utusan Malaysia