KUALA LUMPUR: Pindaan dan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) akan memberi ruang lebih baik kepada orang ramai menyalurkan maklumat mengenai perbuatan salah, termasuk sekiranya aktiviti penzahiran (pendedahan maklumat) itu sudah berlaku.
Ini bermaksud, sekiranya akta whistleblower itu mempunyai penambahbaikan sedemikian, seseorang yang sengaja mengemukakan bukti atau maklumat kepada pihak ketiga seperti media berkemungkinan akan turut dilindungi.
Berbeza dengan Akta 711 sedia ada, ia mempunyai prinsip 'lapor kepada pihak berkuasa terlebih dahulu' dan pemberi maklumat ditakrif sebagai mereka yang membuat pendedahan mengenai suatu perbuatan salah kepada agensi penguat kuasa, tidak terbabit dalam perbuatan itu, maklumat berasas dan sukarela, dan mengikut saluran yang diperuntukkan undang-undang.
Mengulas perkara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata walaupun ada pembaharuan, beliau menjangkakan ia tidak akan memberi ruang kepada mereka yang terbabit dalam jenayah yang dilaporkan itu.
"Saya menjangkakan undang-undang ini akan sama terhadap mereka yang terbabit dalam jenayah, iaitu tidak dilindungi.
"Kedua, mungkin ada sedikit (perkara) mengenai tindakan penzahiran. Undang-undang sekarang, sekiranya orang itu terzahir (mendedahkan maklumat), maka terbatal perlindungannya, tetapi undang-undang baharu ini, ia mungkin tidak membatalkannya.
"Selain itu, pembaharuan lain adalah kemungkinan akan ada insentif kepada whistleblower," katanya ketika menjadi tetamu podcast BH, Borak Harini di sini.
Mengulas lanjut, Azam menjelaskan, SPRM adalah antara agensi sekretariat dalam pembaharuan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang diterajui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Perbezaan takrifan
Ditanya mengenai pemberi maklumat seperti Albert Tei dan Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, Azam berkata, kedua-duanya mempunyai perbezaan takrifan kerana salah seorangnya adalah suspek yang terbabit dalam jenayah yang tidak memberi hak untuk dilindungi mengikut Akta 711.
"Chegu Bard adalah pengadu. Dia pergi ke balai polis, membuat laporan dan barulah dia membuat kenyataan awam. Dia adalah pengadu, bukan whistle- blower.
"Satu lagi, dia tak terbabit pun dalam jenayah berkenaan. Itu saja. Jadi, berdasarkan maklumat yang dilaporkan kepada polis itu, SPRM ambil tindakan. Dia buat laporan pada Isnin dan pada Selasa kami ambil tindakan.
"Pada Rabu, dia datang ke SPRM dan membuat laporan, dan kita sebenarnya sudah menjalankan siasatan awal lagi, iaitu sebelum dia datang.
"Berbeza dengan Albert Tei, dia terbabit dalam jenayah berkenaan. Itu faktanya. Dia bercakap dengan media dan sebagainya… tetapi ia terpulanglah. Cuma klasifikasinya, dia bukan seorang pengadu, tetapi seorang yang terlibat, terbabit sebagai suspek," katanya.
Sumber : Berita Harian Online