KUALA LUMPUR: Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli memberitahu Mahkamah Tinggi, semalam, beliau dimaklumkan bahawa syarikatnya akan menerima tanah sebagai sebahagian bayaran untuk menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang.
Zarul Ahmad dalam keterangannya ketika menjawab soalan balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mendakwa perkara itu diberitahu kepadanya oleh kenalan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, iaitu mendiang Ewe Swee Kheng pada 2013.
Menurut saksi penting dalam kes rasuah dihadapi Guan Eng itu, beliau diperkenalkan kepada Swee Kheng oleh kawan rapatnya.
Zarul Ahmad berkata, ketika itu, syarikatnya mengalami masalah kewangan selepas pemegang saham besar menarik diri dan beliau terpaksa mencari sumber (dana) untuk kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Swee Kheng bersetuju membantu dan menjanjikan bayaran tanah supaya syarikatnya boleh melengkapkan kajian itu mengikut masa yang ditetapkan.
Saksi itu mendakwa, Swee Kheng memberitahu beliau bahawa mendiang pernah berjumpa Guan Eng dan memberi jaminan bahawa syarikatnya akan diberikan (pemilikan) Lot 702.
Zarul Ahmad berkata demikian pada prosiding mencabar kredibilitinya oleh pembelaan yang mendakwa beliau memberi keterangan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan di mahkamah berhubung kes penipuan ahli perniagaan, G Gnanaraja, membabitkan wang berjumlah RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.
Swee Kheng sepatutnya dipanggil sebagai saksi ke-15 pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah itu, namun meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober 2021.
Dalam pada itu, Zarul Ahmad mengesahkan bahawa antara November 2013 dan Disember 2015, syarikatnya menerima RM79.8 juta sebagai sebahagian daripada bayaran untuk kajian terbabit.
Beliau turut mengesahkan bahawa dalam perjanjian awal, syarikatnya sepatut layak menerima dua lot tanah, iaitu Lot 702 dan Lot 713, selepas melengkapkan kajian kebolehlaksanaan berkenaan.
Katanya, hak milik Lot 702 dan sebahagian hak milik Lot 713 sudah dipindahkan walaupun syarikat itu belum menyiapkan kajian kebolehlaksanaan berkenaan.
Sumber: Berita HarianĀ